Yayasan Keluarga Malaysia tanggung lebih 1,000 anak yatim

Yayasan Keluarga Malaysia tanggung lebih 1,000 anak yatim

ISMAIL Sabri Yaakob menyertai Larian Keluarga Malaysia (LKM 2024) di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) kini membiayai dan menanggung lebih 1,000 anak yatim di seluruh negara yang kebanyakannya daripada ibu bapa yang meninggal akibat Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menerima dana sebanyak RM5 juta setahun daripada kerajaan bagi membiayai pendidikan anak-anak berkenaan.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, YKM akan membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak ini sehingga mereka tamat pengajian di universiti.

“Bagi mereka yang tidak memasuki universiti pula, YKM akan membiayai kos pendidikan mereka sehingga usia 18 tahun.

“Antara sumbangan diberikan termasuk bantuan baju sekolah dan sumbangan hari raya. Jika mereka cemerlang dalam pendidikan, kami akan bagi sumbangan lain bagi menggalakkan mereka belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pada program Larian Keluarga Malaysia (LKM) di Persiaran Flora, di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, katanya, LKM adalah antara program dianjurkan YKM bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim berkenaan.

“Saya harap sumbangan yang diberikan oleh peserta larian dan syarikat-syarikat korporat besar dapat meringankan beban anak-anak yatim ini.

“Kerajaan bersetuju memberikan RM5 juta setahun kepada YKM bagi menggerakkan sumbangan kepada anak-anak yatim ini.

“Kerajaan memang bagi kita RM5 juta setahun, tapi belum bagi penuh lagi, sebab baki ada lagi. Tapi dalam masa sama kita juga berusaha untuk menambahkan dana itu sendiri,” katanya.

Katanya, beliau mengakui perbelanjaan bagi menanggung anak-anak yatim piatu ini semakin meningkat kerana mereka juga semakin membesar.

Anak-anak yatim di bawah YKM adalah anak-anak daripada keluarga yang berpendapatan rendah atau B40 yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19, kemalangan dan bencana alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN