Yayasan Bank Rakyat sumbang RM3,000 kepada pelajar yatim piatu

Yayasan Bank Rakyat sumbang RM3,000 kepada pelajar yatim piatu

Syaiful Rizal (dua dari kanan) ketika penyerahan sumbangan bagi membantu pelajar UM, Nur Fatihah bagi memulakan pengajiannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini menyantuni seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yatim piatu yang terpaksa menyara empat adiknya.

Pada Julai lalu, Nur Fatihah Mohammad, 24, kehilangan ibunya akibat jangkitan kuman pada paru-paru, manakala ayahnyasuah meninggal dunia enam tahun yang lepas.

Sejak kehilangan kedua-dua ibu bapanya, Nur Fatihah terpaksa menanggung empat adik-beradiknya yang berusia 19, 15 dan 12. Mereka lima beradik menetap bersama bapa angkatnya, seorang pekerja buruh dan turut mempunyai empat anak kandung.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, menyedari beban ditanggung Nur Fatihah, YBR menghulurkan bantuan berjumlah RM3,000 kepada Nur Fatihah bagi mengurangkan bebanan kewangannya.

“Meskipun bantuan ini tidak mampu menanggung sepenuhnya kos di sepanjang pengajian Nur Fatihah, namun diharap dapat membantu pelajar ini membuat persiapan kemasukan semester baru serta membeli kelengkapan pengajian yang diperlukan,” kata beliau ketika menyampaikan sumbangan tunai di Kolej Tujuh/Kolej Za’aba UM kepada Nur Fatihah yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan Geografi, di sini hari ini.

Menurut beliau, bantuan tersebut juga diharapkan dapat memberi semangat dan motivasi kepada Nur Fatihah untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian sekali gus meningkatkan sosioekonomi keluarga pada masa akan datang.

“YBR akan sentiasa mendoakan agar Nur Fatihah diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan.

“Semoga lebih banyak organisasi luar atau orang ramai dapat sama-sama membantu meringankan bebanan kewangan yang ditanggung oleh Nur Fatihah,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Fatihah berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada YBR kerana sudi memberikan bantuan dan melihat sendiri keadaan dirinya di UM.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Nur Fatihah boleh menyalurkan bantuan dengan menghubunginya di talian 011-29332762.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN