Warisan cabar PH Sabah saman semula kerajaan - Utusan Malaysia

Warisan cabar PH Sabah saman semula kerajaan

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan mencabar Pakatan Harapan (PH) Sabah memfailkan semula saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah mengenai tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditarik balik tahun lalu.

Saman itu antaranya melibatkan tuntutan PH Sabah diketuai Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengenai 40 peratus hasil negeri yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan.

Kerajaan di Dewan Rakyat pada Oktober tahun mengalu-alukan PH Sabah selaku plaintif memfailkan semula tindakan undang-undang yang ditarik balik, namun mereka perlu yakin menang jika mengheret semula kerajaan ke mahkamah.

Ketua Penerangan Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman mencabar PH Sabah setelah mereka memberitahu bebas memfailkan semula saman jika beberapa isu tidak selesai di dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 (Jawatankuasa Teknikal) yang dibentuk.

Bekas ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, hampir satu tahun selepas PH Sabah menarik balik saman namun, majlis tindakan dan jawatankuasa tidak menyelesaikan isu berhubung 40 peratus hasil negeri Sabah.

“Saya cabar PH Sabah dan UPKO untuk saman semula kerajaan sebab mereka sendiri berjanji dahulu sewaktu pilihan raya jika mereka menjadi kerajaan akan tetap teruskan saman.

“Tetapi hingga kini apa perkembangannya? Saya tidak akan lupa setiap janji mereka. Sekarang di mana janji itu? Apabila mereka menjadi sebahagian dari kerajaan, akhirnya saman tarik balik.

“Saya yakin, tiada siapa pun tahu apa perkembangan terkini yang dicapai di dalam majlis tindakan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Azis, beliau maklum alasan PH Sabah menarik balik saman sebelum ini dan menggunakan pendekatan kerajaan kepada kerajaan.

“Apabila berada dalam kerajaan, memang ada cara dalaman untuk menuntut. Ketika pentadbiran Warisan di peringkat negeri pun lakukan strategi kerajaan kepada kerajaan dan bincang dalam jawatankuasa MA63 ketika itu. Cuma, sekarang PH Sabah dan UPKO sendiri berjanji dan menarik balik saman. Maka, mereka yang patut disalahkan,” katanya.

Pada 20 September tahun lalu, PH Sabah menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil negerinya yang difailkan di mahkamah pada Jun 2022.

12 pemimpin PH Sabah berkata, keputusan menarik balik saman itu mengambil kira pendapat undang-undang berhubung kedudukan plaintif dalam saman pemulanya sebagai ahli Kabinet Persekutuan dan negeri ketika ini.

Kata mereka, tidak wajar untuk plaintif meneruskan tindakan undang-undang terhadap kedua-dua defendan yang menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri.

Bagaimanapun, katanya, plaintif bebas memfailkan semula saman tersebut jika beberapa isu tidak dipersetujui dan diselesaikan dalam MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk.

12 wakil rakyat itu ialah Datuk Christina Liew Chin Jin; Datuk Ewon Benedict; Datuk Frankie Poon Ming Fung; Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Awang Husaini Sahari; Datuk Chan Foong Hin; Datuk Phoong Jin Zhe; Jannie Lasimbang; Peto Galim; Tan Lee Fatt; Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.

Pada November 2022, Ewon merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, saman terhadap Kerajaan Persekutuan tidak akan ditarik balik walaupun gabungan itu berjaya membentuk kerajaan bersama parti politik lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 30 Oktober 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali ketika itu mengalu-alukan PH Sabah memfailkan semula tindakan undang-undang yang ditarik balik, namun perlu yakin menang jika mahu mengheret semula kerajaan ke mahkamah.

“Jika kita (plaintif) mahu bawa sesuatu kes ke mahkamah, pastikan anda boleh menang. Jika tidak menang, ini akan mengurangkan kuasa tawar-menawar (bargaining power) dalam menuntut hak dan kepentingan negeri jika mahkamah memutuskannya.

“Namun, pastikan bila bawa ke mahkamah anda cukup yakin boleh menang di mahkamah kerana anda membawa aspirasi dan perjuangan rakyat Sabah.

“Jika tidak, bargaining power yang selalu disebut mengenai 40 peratus ini kelak berkurang,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Sembilan tuntutan asas berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selesai sepenuhnya:

1. Penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah

2. Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan

3. Pemberian kuasa (empowerment) mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak

4. Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik bawah Arahan Perbendaharaan 182

5. Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

6. Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di negeri Sabah

7. Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak

8. Penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak

9. Penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah

Sumber: Jawapan bertulis Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, 5 Mac 2024 kepada soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) di Dewan Rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN