PUTRAJAYA: Satu sindiket pemalsuan dokumen yang bergiat aktif sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) minggu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kejayaan hasil intipan selama sebulan dengan sindiket itu menjadikan sebuah kediaman di ibu negara sebagai markas operasi.
“Seorang lelaki rakyat Pakistan bernama Azhar yang menjadi dalang utama turut ditahan dalam operasi dibuat pada 5 dan 6 September lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat JIM dikerahkan dalam misi berkenaan.
Mereka ujarnya digerak atur ke USJ 1, Subang Jaya, Selangor sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga India dalam kereta Honda City.
Hasil penggeledahan di kenderaan ahli sindiket itu, pasukan operasi kata Ruslin, menemui sejumlah 20 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dipercayai palsu.
“Berdasarkan soal siasat, pasukan digerakkan ke lokasi di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada keesokan dan menahan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki Azhar,” katanya.
Pemeriksaan lanjut jelasnya, menemui lagi 30 keping pelekat PLKS yang juga dipercayai palsu dan seterusnya bergerak pula ke rumah suspek di Jalan Desa Bakti, Kuala Lumpur.
Di premis itu, pasukan tersebut ujar beliau, berjaya menyita sejumlah 16 naskhah pasport dari pelbagai negara termasuk senaskhah pasport Malaysia yang disyaki sebagai palsu.
Turut dirampas sekeping kad pengenalan dan lesen memandu Malaysia yang dipercayai palsu selain satu unit komputer riba, satu unit pencetak dan satu unit pencetak gambar.
“Pasukan ini juga menyita 50 keping pelekat PLKS, 28 unit cap keselamatan masuk dan keluar milik imigresen pelbagai negara yang kesemuanya disyaki palsu,” tambah Ruslin.
Dua kenderaan sindiket itu turut dirampas manakala tiga suspek berkenaan yang berusia antara 44 tahun sehingga 50 tahun telah ditahan di Depot JIM Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Semakan awal agensi tersebut ujarnya, mendapati dua warga Pakistan itu memiliki PLKS yang masih sah laku tetapi rakyat India tersebut pula telah tinggal lebih masa di Malaysia.
Modus operandi sindiket itu katanya, menawarkan perkhidmatan berkaitan kemudahan imigresen seperti cap keselamatan, PLKS, pas khas dan juga lesen memandu Pakistan.
“Mereka sasar warga asing dari negara sumber di Lembah Klang yang tiada dokumen perjalanan untuk menetap di negara ini dengan cara menggunakan media sosial,” katanya.
Pelanggan pula kata Ruslin, dikenakan kadar bayaran tertentu daripada serendah RM100 untuk cap keselamatan imigresen sehingga RM1,000 untuk caj perkhidmatan pas khas.
Kes itu masih disiasat di bawah Seksyen 55D, Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963.
JIM tegasnya, komited bertindak ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan termasuk di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. – UTUSAN