Warga emas maut kemalangan selepas solat Subuh di masjid - Utusan Malaysia

Warga emas maut kemalangan selepas solat Subuh di masjid

KEADAAN motosikal ditunggangi Wan Alias Wan Hitam yang maut dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kuala Terengganu - Bukit Besi dekat Bukit Diman, Hulu Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Hasrat seorang warga emas pulang ke rumah selepas selesai solat Subuh di sebuah masjid tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi dekat Bukit Diman, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Wan Alias Wan Hitam, 68, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala setelah tercampak ke dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kemalangan melibatkan motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa dengan sebuah Mercedes Benz dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun.

“Kejadian berlaku sewaktu mangsa dari arah Masjid Kampung Bukit Diman ke rumahnya di kampung berkenaan manakala kereta dari arah Felda Jerangau menuju ke Kuala Terengganu.

“Ketika kereta tersebut sampai di lokasi, terdapat sebuah motosikal ingin membelok ke kanan menyebabkan pemandu mengelak ke sebelah kiri jalan dan secara tiba-tiba terlanggar mangsa yang berada di kepala simpang Masjid Kampung Bukit Diman.

“Akibatnya, mangsa yang merupakan seorang peniaga telah tercampak ke dalam longkang di sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya