Wanita warga emas ditahan bantu kes kehilangan pesara Felcra - Utusan Malaysia

Wanita warga emas ditahan bantu kes kehilangan pesara Felcra

SABARI BAHAROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kehilangan seorang pesara Felcra di Baling yang keretanya ditemui rentung terbakar di tapak pembuangan sampah di Hutan Gubir, Sik dua hari lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 62 tahun itu ditahan untuk membolehkan pihaknya menyiasat dengan lebih lanjut berkaitan penglibatannya berikutan penemuan transaksi kewangan membabitkan akaun milik mangsa.

“Kita tidak dapat memberi maklumat lanjut berkaitan suspek kerana masih melakukan siasatan tetapi berdasarkan perkembangan kita yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

“Kita juga telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Baling dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah melakukan siasatan menyeluruh berkenaan kehilangan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Fisol berkata, perkembangan siasatan kes itu akan dimaklumkan dari masa ke semasa supaya orang ramai juga dapat mengikutinya bagi mengelak spekulasi terhadap pihak polis yang didakwa lambat bertindak.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang bekas pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Pelbagai usaha mencari telah dilakukan oleh ahli keluarga namun sehingga kini Sabari masih gagal dikesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya