Wanita paling ramai jadi mangsa Love Scam

Wanita paling ramai jadi mangsa Love Scam

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, memberikan keterangan mengenai situasi semasa jenayah komersial ketika sesi sidang akhbar mingguan jabatan siasatan jenayah komersial yang diadakan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini. UTUSAN/ILHAM ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesunyian, mahu mencari cinta sejati dan mudah percaya kata-kata cinta menjadi antara punca kaum wanita mudah menjadi mangsa penipuan cinta atau ‘love scam’ di alam maya.

Berdasarkan analisis, wanita paling ramai menjadi mangsa ‘love scam’ di negara ini dengan 79.3 peratus daripada keseluruhan 2,223 kes yang direkodkan dalam tempoh 2022 hingga Ogos lalu adalah wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat beberapa aspek yang menyebabkan wanita mudah menjadi mangsa penipuan ‘love scam’.

Menurut beliau, wanita sering dilihat sebagai lebih terbuka dalam aspek emosi dan hubungan peribadi dan hal itu dieksploit oleh sindiket dalam merangka strategi bagi menimbulkan rasa empati. 

“Selain itu, wanita yang mencari hubungan percintaan lebih mudah terpengaruh oleh kata-kata dan tindakan yang penuh kasih sayang, terutamanya apabila mereka merasa kesunyian atau kekurangan dalam hubungan mereka yang sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di sini, hari ini.

Katanya, wanita yang berharap menemukan cinta sejati juga terdorong untuk percaya pada cerita yang menarik walaupun adakalanya mungkin kelihatan tidak masuk akal. 

Dalam pada itu, Ramli berkata, hasil analisis pihaknya mendapati tiada kategori umur tertentu yang disasarkan secara spesifik oleh sindiket penipuan ‘love scam’. 

“Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada sindiket ini. Umpamanya, pada tahun 2022, jumlah mangsa tertinggi direkodkan dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun dengan 211 individu. 

“Manakala bagi tahun 2023, jumlah mangsa paling ramai direkodkan dari kategori umur 41 hingga 50 tahun iaitu seramai 215 individu. 

“Seterusnya bagi tahun 2024, setakat Ogos lalu, individu dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun kembali menjadi mangsa paling ramai dengan 178 individu,” katanya.

Ramli berkata, pada 2022, sebanyak 792 kes direkodkan membabitkan kerugian RM56.2 juta, manakala pada 2023, sebanyak 935 kes dengan kerugian RM43.9 juta.

“Bagi tempoh tahun ini sehingga Ogos lalu, sebanyak 496 kes direkodkan membabitkan jumlah kerugian RM23.3 juta. 

“Menjelang akhir tahun 2024, dijangka jumlah kes yang direkodkan akan melebihi atau menyamai jumlah kes bagi tahun terdahulu,” katanya.

Ramli berkata, pihaknya komited untuk mengambil beberapa pendekatan bagi menyedarkan masyarakat untuk mencegah jenayah love scam ini. 

“Kes ‘love scam’ masih perlu diberi perhatian kerana impak kerugian yang diakibatkan oleh kes ini adalah besar. 

“Umpamanya, baru-baru ini dilaporkan oleh Polis Selangor bahawa seorang wanita berusia 64 tahun telah diperdaya oleh sindiket ‘love scam’ sehingga mengakibatkan kerugian RM1.98 juta. 

“Melalui laporan polisnya, pengadu yang juga seorang pesara memaklumkan telah dihubungi oleh rakan mayanya yang ingin menghantar parcel yang mengandungi wang tunai. 

“Bagi menebus parcel tersebut, pengadu telah memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM1,981,574,” katanya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya