HULU TERENGGANU: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berpusing beberapa kali di Kilometer 416.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 dekat Ajil di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu, mangsa, Kutum Hassan, 67, yang berada di tempat duduk penumpang meninggal dunia di lokasi setelah cedera di kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kemalangan berlaku ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Batu Rakit, Kuala Nerus menuju ke rumah mereka di Kampung Baru Kerteh, Kemaman.
“Sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba
kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz, dipandu suami mangsa, Othman Embong, 71, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Akibat daripada itu, kereta tersebut turut melanggar besi penghadang jalan serta berpusing beberapa kali di atas lebuh raya dan terbalik.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, Othman merupakan pesara pemandu di sebuah syarikat mengalami luka-luka pada kepala dan muka turut dibawa ke hospital sama bagi dapatan rawatan.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN