Wanita menyamar pelanggan curi rantai RM30,000 diburu - Utusan Malaysia

Wanita menyamar pelanggan curi rantai RM30,000 diburu

Curi rantai
TANGKAP layar kejadian melibatkan suspek wanita menyamar sebagai pelanggan dan memasuki ke sebuah kedai barangan kemas di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Polis memburu seorang wanita yang menyamar pelanggan untuk melarikan rantai bernilai RM30,000 di sebuah kedai emas sekitar daerah ini, Isnin lalu.

Kejadian melibatkan suspek yang bertudung itu berlaku di dalam premis berkenaan, kira-kira pukul 12.25 tengah hari dan dikenal pasti memasuki premis itu dengan berpura-pura mahu membeli barang kemas.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pembantu kedai itu pada hari kejadian.

“Suspek bagaimanapun kemudian bertindak mengambil seutas rantai emas lalu melarikan diri. Pemeriksaan lanjut mendapati nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM30,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azaharudin, pihaknya sedang mempergiatkan usaha memburu suspek bagi membantu siasatan.

“Kita belum membuat sebarang tangkapan setakat ini dan sedang mengesan wanita tersebut. Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannnya di balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) video berdurasi lebih seminit memaparkan seorang wanita berpurdahmemasuki sebuah kedai emas.

Wanita itu sempat duduk di kerusi pelanggan dan didatangi seorang pekerja yang mengeluarkan barang kemas di rak pameran untuk dicuba suspek.

Suspek yang kononnya mahu mencuba memakai bagaimanapun melarikan diri dengan emas tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN