Wanita hamil antara 11 didakwa tawar pekerjaan tidak wujud - Utusan Malaysia

Wanita hamil antara 11 didakwa tawar pekerjaan tidak wujud

INDIVIDU yang dituduh melakukan penipuan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Wanita hamil tujuh bulan antara 11 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud, bulan lalu.

Tertuduh, Ng Kai Yee, 22, bersama 10 yang lain melibatkan tiga wanita dan tujuh lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Terdahulu, Kai Yee bersama, Toh Khai Shean, 24; Lee Kong Pa, 22, dan Yeoh Li Kee, 26, didakwa bersama-sama sebagai pihak pakatan jenayah telah melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu cuba menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan keempat-empat tertuduh di sebuah rumah di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pukul 1.30 tengah hari, 14 Ogos 2024.

Pada prosiding sama, tujuh lagi individu iaitu Chuah Cher Sheng, 25; Lam Yong Jun, 24; Ng Zi Cong, 25; Yeong Yong Long, 24; Wong Li Jia, 23; Leong Ying Zhi, 21, dan Leyu Yee Ying, 24, turut didakwa bagi kesalahan serupa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh itu dikemukakan di bawah Seksyen 120(B)(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mencadangkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Privesh Paul Singh yang mewakili Kai Yee memohon agar anak guamnya yang sedang hamil tujuh bulan diberikan jaminan minimum dalam lingkungan RM2,000.

Manakala, Tan Kian Peng yang mewakili 10 tertuduh lain turut memohon semua tertuduh dikenakan jaminan rendah dan pada kadar munasabah atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh bersama syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 29 Oktober dan 8 November depan.

Media pada 16 Ogos lalu melaporkan, dua buah rumah di Taiping yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud diserbu polis dalam operasi pada pukul 1.30 petang.

Sindiket yang baru dua minggu beroperasi itu menjalankan penipuan secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari Malaysia dan Singapura.

Difahamkan, kesemua individu warga tempatan yang ditahan termasuk seorang wanita hamil itu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah pusat operasi yang dinamakan sebagai ‘Calling Center’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya