DUNGUN: Seorang wanita ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti penyelaman di Pulau Tenggol, dekat sini, semalam.
Mangsa, Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama 28 penyelam lain melakukan aktiviti selam skuba bersama dua ‘guide diving’, kira-kira pukul 9 pagi.
“Selepas kesemua penyelam naik ke permukaan air, mangsa didapati tidak timbul dan dua guide diving telah menyelam semula mencari mangsa.
“Mangsa kemudiannya telah ditemukan terdampar di dasar laut dan mangsa kemudiannya telah dibawa ke pantai sebelum diberikan bantuan pernafasan (CPR),” katanya
Maizura berkata, mangsa kemudiannya terus dibawa ke sebuah jeti di Kuala Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital itu untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN