Wanita belum sedia hamil tidak guna kaedah kontraseptif moden - Utusan Malaysia

Wanita belum sedia hamil tidak guna kaedah kontraseptif moden

ROHANI Abdul Karim (kiri) melawat ruang pameran selepas merasmikan Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024 di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang daripada lima wanita di Malaysia yang belum bersedia untuk hamil didapati tidak menggunakan sebarang kaedah kontraseptif moden dalam merancang kelahiran bayi mereka.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, data itu adalah hasil kajian yang dilakukan ‘National Health & Morbidity Survey : Maternal and Child Health’ pada tahun 2022.

Menurutnya, kajian itu juga mendapati jumlah keperluan perancang keluarga yang tidak dipenuhi di Malaysia masih tinggi dianggarkan sekitar 26.7 peratus.

Oleh itu, beliau berkata, LPPKN akan terus memperkasakan program advokasi dan promosi perancang keluarga dalam kalangan wanita di negara ini bagi meningkatkan tahap kesedaran mereka.

“Konsep merancang keluarga bukan untuk menyekat kelahiran bayi atau pertambahan keluarga, namun ia adalah satu langkah proaktif dalam mengelakkan kehamilan dalam keadaan tidak bersedia dan menjarakkan kehamilan untuk mengelakkan kelahiran yang terlalu rapat yang tidak sihat.

“Ini juga untuk mengelakkan kehamilan berisiko tinggi bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan serta hamil di usia terlalu muda atau terlalu lewat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024 di sini, hari ini.

Seramai 180 peserta hadir secara fizikal dan forum itu turut disiarkan secara dalam talian di media sosial rasmi LPPKN.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LPPKN telah mengatur pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kaedah serta keperluan perancang keluarga melalui pelaksanaan kempen dengan tema ‘Merancang Keluarga Sejahtera’ sepanjang bulan September ini.

“Perancangan keluarga yang baik bukan sahaja membantu dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kesihatan anggota keluarga, tetapi juga mewujudkan suasana yang harmoni dan seimbang dalam rumah tangga.

“Untuk makluman semua, kontraseptif percuma juga diberikan kepada kumpulan sasar dalam kalangan B40 dan berisiko tinggi yang layak melalui program ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN