Wajibkan sijil halal akan kurangkan keraguan pelanggan muslim

Wajibkan sijil halal akan kurangkan keraguan pelanggan muslim

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal dapat mengurangkan keraguan orang Islam yang berkunjung atau membeli produk sesuatu makanan.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, cadangan tersebut selayaknya dipertimbangkan.

Kata beliau, kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal boleh dilihat dari pelbagai sudut.

“Cadangan mewajibkan itu akan mengelak orang Islam tersilap membeli makanan yang mengandungi bahan tidak halal tetapi dijual di pasaran terbuka dan tindakan boleh dikenakan kepada pengusaha.

“Sekiranya restoran menyediakan makanan tidak halal, sebaiknya status tidak halal perlu dinotiskan pada tempat yang boleh diketahui oleh pengunjung Muslim yang menjadi majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Ini selepas beberapa restoran popular yang majoriti pengunjungnya merupakan pelanggan Muslim disahkan tidak mempunyai sijil halal daripada Jakim.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah tersebut turut bagi mengelak insiden orang Islam berkunjung ke restoran popular yang tidak mempunyai sijil pengesahan halal.

Malah, beliau berpandangan, sekiranya langkah mewajibkan itu melibatkan restoran atau syarikat kepunyaan orang Islam maka ia tidak sesuai.

“Ini kerana seorang Muslim asalnya terikat dengan hukum halal haram, suci dan najis dan penyediaan makanan oleh mereka bermula dengan hukum suci tanpa keraguan melainkan dibuktikan sebaliknya.

“Namun, pengiktirafan sijil halal bagi restoran dan produk keluaran orang Islam menambah nilai keyakinan kepada orang Islam untuk mengunjungi restoran dan memperolehi produk mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN