KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, tidak menerima sebarang surat tuntutan daripada pihak peguam yang mewakili Abang Bas.
Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad yakin kelantangannya menyuarakan isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak demi memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Setakat ini saya tidak terima apa-apa notis tuntutan mahkamah. Saya pun tidaklah mahu melakukan provokasi sebab saya yakin dan percaya semua orang pun sudah mengulas tentang isu ini, menandakan ia berat.
“Masyarakat kita secara umumnya sudah cakna dan mula faham tentang isu ini apabila ramai yang sudah bersuara.
“Bukan hanya selebriti, malah peguam, doktor dan masyarakat yang lain turut bersuara,” katanya.
Uyaina mengulas mengenai dakwaan dirinya bakal berdepan tindakan undang-undang oleh peguam Abang Bas, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar kerana dikatakan menimbulkan syak wasangka.
Maklum dengan kenyataan yang dikongsikan peguam tersebut, Uyaina menganggap gertakan itu ditujukan kepada individu yang mudah menjatuhkan hukuman.
“Saya lihat (kenyataan peguam) itu sebagai amaran dan gertakan juga.
“Mungkin ada segelintir masyarakat yang terus menjatuhkan hukuman kepada seseorang.
“Saya pernah bercakap sebelum ini bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
“Saya juga tidak akan minta maaf dan sedia berdepan sebarang kemungkinan untuk menegakkan kebenaran kerana apa yang saya suarakan berdasarkan fakta,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media program Tiga Is3 di restoran The Majapahit, hari ini.
Bukan itu sahaja, pengacara Wanita Hari Ini juga memaklumkan sudah dihubungi beberapa peguam yang mahu menawarkan khidmat guaman secara percuma.
“Sebenarnya ramai peguam yang menghubungi saya untuk menawarkan perkhidmatan guaman sekiranya saya menerima apa-apa surat dari mahkamah.
“Mereka mahu membela saya tetapi saya tidak melihat itu sebagai matlamat utama.
“Kalau saya terima apa-apa surat daripada sesiapa pun, saya harap akan matang dan dapat fikirkan yang terbaik untuk membuat keputusan dengan nasihat peguam,” katanya.
Terdahulu, pada Selasa, Abang Bas dibebaskan setelah membayar ikat jamin keseluruhan berjumlah RM40,000 di Kompleks Mahkamah Muar.
Bagaimanapun, peguam yang mewakilinya secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata pihak keluarga mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang menimbulkan syak wasangka sepanjang lelaki itu ditahan polis. -UTUSAN