PASIR MAS: Seorang warga emas berketurunan Cina, Owee Ching Lyu, 82, dari Kampung Sakar Sungai di sini, menjadikan akhbar Utusan Melayu keluaran 23 Julai 2012 sebagai medium untuk memperkasa bacaan dan tulisan jawi yang dipelajarinya sejak kecil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ching Lyu atau nama Melayunya, Pak Awang berkata, minat mendalam terhadap bacaan jawi dan tulisan itu membuatkan dia menyimpan kemas akhbar tersebut.
“Setiap kali mahu membaca jawi saya bawa keluar Utusan Melayu. Selain membaca, saya juga boleh menulis jawi dengan baik sebagaimana rakan-rakan Melayu yang lain.
“Minat terhadap jawi berputik sejak kecil, ketika itu saya menuntut di Sekolah Melayu Pasir Mas. Bertitik tolak dari situlah saya belajar menulis dan membaca jawi dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ching Lyu berkata, dia mempelajari tulisan itu dari gurunya, Abdullah Harun bermula dari 1951 sehingga 1957.
Katanya, percampuran harian bersama masyarakat Melayu semasa bersekolah menjadikannya lebih selesa menggunakan tulisan itu sehingga hari ini.
“Selain jawi, saya menjadikan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama bersama enam anak termasuk menantu dan 12 cucu.
“Bahasa Mandarin tetap saya gunakan dalam pertuturan harian, namun tidak sekerap bahasa Melayu,” ujarnya.
Ching Lyu berkata, dia berharap generasi hari ini dapat terus mempelajari jawi dan mempertahan tulisan itu supaya tidak luput ditelan zaman. – UTUSAN