Utus surat kepada PM, pelajar terkejut terima sumbangan

Utus surat kepada PM, pelajar terkejut terima sumbangan

SITI Zulaikha (kiri) bersama ibunya menunjukkan surat yang dihantar kepada Perdana Menteri ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Gading, Tanah Merah, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang pelajar yang mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terkejut apabila menerima sumbangan peribadi berjumlah RM2,000 daripada pemimpin No.1 negara ini.

Siti Zulaikha Anuar, 20, berkata, dia nekad menulis surat itu selepas berdepan dengan masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada Jumaat ini.

Menurutnya, idea untuk menulis surat ini tercetus daripada badan bukan kerajaan (NGO) apabila mengetahui keluarganya tidak berkemampuan untuk mengurus pendaftarannya ke UIAM.

“Saya tulis surat pada 19 September lalu dan tidak menyangka permohonan bantuan saya diluluskan.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana menyumbangkan wang peribadi beliau sebanyak RM2,000 kepada saya,” katanya ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Gading di sini semalam.

Penyerahan wang peribadi daripada Perdana Menteri itu disampaikan oleh Pengerusi MyMADANI Tanah Merah, Wan Ibrahim Wan Yusof mewakili Pengerusi Majlis kepimpinan Keadilan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Siti Zulaikha merupakan anak kesembilan daripada 12 beradik memberitahu, ayahnya, Anuar Mamat, 62, sudah tidak berupaya untuk bekerja kerana masalah penglihatan.

“Ibu (Rosmawati Hussien,56,) tidak bekerja. Keluarga kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300.

“Untuk menguruskan perbelanjaan ke menara gading, keluarga saya menghadapi kekangan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Wan Ibrahim berkata, sumbangan diberikan selepas Perdana Menteri menerima surat permohonan bantuan bagi urusan persiapan dan kemasukan ke universiti daripada pelajar tersebut.

Katanya, Anwar berharap agar Siti Zulaikha dapat meneruskan pelajarannya di peringkat Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya