UTM umpama ‘universiti keluarga’ – Penuntut

UTM umpama ‘universiti keluarga’ – Penuntut

MUHAMMAD Azriq Haszely mengemas pakaiannya selepas mendaftar sebagai penuntut baharu di UTM, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebahagian penuntut baharu yang mendaftar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memilih universiti itu kerana meyakini tahap kebolehpasarannya.

Mereka juga memilih universiti berkenaan kerana ahli keluarga juga merupakan penuntut dan alumni institusi pengajian tinggi tersebut.

Seorang penuntut baharu, Muhammad Azriq Haszely, 21, berkata, dua kakaknya masih belajar di universiti itu, masing-masing dalam jurusan sumber manusia serta sains sukan.

“Saya pilih sambung belajar di UTM kerana menyedari tahap kebolehpasaran graduan universiti ini. UTM juga merupakan antara universiti terkemuka di Malaysia dan setiap tahun ramai yang memohonnya.

“Selain itu, kakak saya memaklumkan seronok belajar di sini, jadi mudah bagi saya membuat keputusan memilih lokasi untuk menyambung pengajian,” katanya kepada Utusan Malaysia pada hari pendaftaran penuntut baharu di UTM, di sini semalam.

Muhammad Azriq merupakan salah seorang daripada seramai 3,154 penuntut baharu mendaftarkan diri ke universiti awam berkenaan bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2024/2025.

Sementara itu, seorang lagi penuntut baharu, Mellvyn Eldric Anak Menchon, 21, berkata, dia memilih menyambung pengajian tinggi di universiti berkenaan kerana kakaknya adalah alumni UTM.

“Saya pilih UTM atas nasihat kakak, dia merupakan alumni di universiti ini. Ini juga merupakan pertama kali saya berjauhan dengan ahli keluarga danamenetap di asrama. Jadi saya harap semuanya baik-baik sahaja,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN