Ustaz dituduh cabul guru praktikal - Utusan Malaysia

Ustaz dituduh cabul guru praktikal

MOHD. Hafidz Eshak dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal di sebuah sekolah agama swasta di Port Dickson bulan lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pengerusi sebuah pusat pengajian agama swasta di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Hafidz Eshak, 44, yang juga seorang ustaz bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dengan niat dan maksud melakukan suatu perbuatan mencabul kehormatan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.40 petang di pusat pengajian agama tersebut pada 18 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan wang jaminan sebanyak RM50,000 susulan kes membabitkan kepentingan awam serta mendapat liputan meluas.

“Kedua, orang kena tuduh (OKT) akan berhadapan satu pertuduhan lain (sebentar lagi) di Mahkamah Sesyen Seremban di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesemua kesalahan yang dilakukan ini melibatkan kesalahan serius,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi memohon jaminan rendah berikutan tertuduh di dalam keadaan kesempitan kewangan.

“Jumlah yang ditawarkan RM50,000 itu seolah-olah satu hukuman kepada tertuduh sedangkan tujuan jaminan sebagaimana undang-undang adalah hanya untuk memastikan tertuduh hadir pada tarikh-tarikh ditetapkan oleh mahkamah,” kata Hanif.

Terdahulu, Hanif turut membetulkan fakta, anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).

“Berbeza dan tiada hubung kait. Tangkapan tiada kena mengenai dengan operasi GISB yang sedang berjalan dan saya mohon not to be clouded (dipengaruhi) dengan isu semasa untuk menentukan jumlah yang dikenakan ke atas tertuduh.

Mohamad Azriff kemudiannya berhujah agar wang jaminan diberikan berdasarkan kepentingan awam dan tidak boleh melebihi kepentingan tertuduh semata-mata.

Menurutnya, bagi memastikan perjalanan kes juga syarat tambahan perlu dikenakan ke atas tertuduh iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan terutamanya mangsa dalam kes tersebut.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes akan ditetapkan pada 17 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN