Usah tumpu satu bidang hingga ketepi kuasai teknologi - Anwar

Usah tumpu satu bidang hingga ketepi kuasai teknologi – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Nai'm Mokhtar (dua kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zakiha Mustafa (dua kanan) melakukan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Taman Alam Sutera di sini, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Generasi muda disaran untuk tidak menumpukan satu bidang semata-mata sehingga mengetepikan keperluan menguasai sains dan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia menuntut perubahan dan Malaysia tidak boleh ketinggalan.

“Jangan tumpu satu bidang termasuk jadi huffaz, tetapi meninggalkan keperluan kuasai teknologi dan pemikiran baru supaya boleh memimpin.

“Maknanya memastikan ada perimbangan, kesimbangan di antara keperluan kita sebagai umat menguasai ilmu yang asas dan al-Quran, disamping itu meneroka dan menguasai alam dan disiplin bahaaru.

“Kalau tidak negara dikuasai, teknologi dan kecanggihan mereka pegang, jadi kita hanya menonton, ada keperluan menguasai (pelbagai) bidang,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bukit Jalil, di sini.

Projek pembinaan kompleks sekolah yang telah diluluskan sebanyak RM70 juta di bawah Geran Pembangunan (DE) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu dijangka bermula pada suku kedua tahun depan dan dijangka siap 2028.

Kompleks itu bakal menempatkan lebih ramai pelajar dan pengurusan sekolah berbanding kapasiti sedia ada terletak di Bandar Tun Razak, Cheras.

Dalam pada itu, Anwar menggesa projek SMISTA itu dilaksanakan dengan kadar segera selain proses tender dibuat dengan teliti.

Menurutnya, sekiranya sebarang pelanggaran peraturan diizinkan kepada projek yang baik, maka ia akan menyebabkannya menjadi lambat.

“Kementerian Kewangan boleh luluskan proses tender fast track, tetapi mesti tender dan mesti ikut proses (dengan) kontraktor yang layak dan bertanggungjawab.

“Saya nak disegerakan supaya siap sekolah ini dalam tempoh lebih cepat yang dijangka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN