UPSR, PT3 kekal mansuh, anak-anak bukan tikus makmal

UPSR, PT3 kekal mansuh, anak-anak bukan ‘tikus makmal’ – Fadhlina

FADHLINA Sidek melihat buku Pelan Strategik 2024-2030 di KPM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kekal dimansuhkan dan tidak dikembalikan semula setakat ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) masih kekal dengan keputusan terdahulu yang memansuhkannya pada 2022.

Bagaimanapun, kata beliau, cadangan untuk mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu memerlukan pandangan menyeluruh dan tidak boleh dilihat berdasarkan satu aspek sahaja.

“Kita perlu sediakan pandangan keseluruhan KPM dan kita akan siapkan persiapan pandangan itu, ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek sahaja dan (seharusnya) lebih besar.

“(Ini kerana) anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak ulang kaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPM di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai saranan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar UPSR dan PT3 dikembalikan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M)

Fadhlina berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihak kementerian telah membuat pelbagai penegasan semula khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) termasuk latihan kepada guru-guru.

Katanya, langkah ini bagi memastikan tidak ada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan anak-anak kita khususnya berkaitan dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Jadi penegasan di peringkat KPM itu adalah untuk memastikan apa keputusan yang kita ambil tidak boleh menjejaskan anak-anak kita.

“Kita ada tumpuan yang lebih besar khususnya Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu.

“Semua input ini termasuk peperiksaan UPSR sudah berada dalam sesi libat urus KPM khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu,” katanya.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

PT3 pula mula dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya