ALOR SETAR: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 wajar untuk dikembalikan semula.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peperiksaan tersebut sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.
“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan menjadi salah satu komponen penting dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama.
“Jadi saya melihat peperiksaan itu ada kewajarannya untuk diadakan semula kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid seperti yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan cadangan supaya sistem peperiksaan bagi tahun enam di sekolah rendah dan tingkatan tiga di sekolah menengah dirombak.
Ujar Mahdzir, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa kajian mendalam.
Katanya, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.
Justeru jelasnya, saranan Ahmad Zahid perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М).
“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan. Kaedah pentaksiran itu juga telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas,” ujarnya.
Tambah Mahdzir, ada kedengaran suara-suara ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang telah menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid dan pelajar ini agak berkurangan apabila tiada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3. Dahulu mereka berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaaan.
“Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan itu dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan”, ujarnya.
Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 pula dilaksanakan pada 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). – UTUSAN