UPSI sambut 4,195 pelajar baharu - Utusan Malaysia

UPSI sambut 4,195 pelajar baharu

NORKHALID Salimin (tengah) menyantuni pelajar baharu dan keluarga mereka di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI Proton City di Tanjung Malim semalam. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pendaftaran seramai 4,195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda ambilan September 2024/2025 di sini semalam.

Naib Canselor UPSI, Datuk Md. Amin Md. Taff mengucapkan tahniah dan menyantuni pelajar baharu bersama keluarga masing-masing di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini.

“Proses pendaftaran lancar dan UPSI menyambut pelajar serta keluarga dengan penuh kegembiraan dan mereka akan mengikuti Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (Millenia) iaitu acara tahunan yang dikendalikan oleh 200 pelajar yang ditugaskan sebagai fasilitator,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, Millenia menjadi platform utama untuk pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus, sekali gus memupuk semangat kekeluargaan dan intelektual sebagai Anak Kandung Suluh Budiman.

Menurutnya, UPSI bukan sahaja menawarkan pendidikan yang unggul, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati suasana kampus yang harmoni dan indah.

“Pelajar baharu bertuah kerana UPSI mempunyai pelbagai kemudahan rekreasi seperti Pusat Bowling UPSI, Kolam Renang Gimnasium UPSI, Edu Forest, dan UPSI Adventure Park yang pastinya akan menjadi daya tarikan kepada pelajar baharu untuk beriadah pada masa lapang

“Kedudukan UPSI di sisi Banjaran Titiwangsa yang hijau, pelajar baharu dapat menikmati pemandangan semula jadi yang indah, sekali gus memberi ketenangan untuk fokus dalam pengajian dalam suasana akademik yang kondusif, tetapi juga menggalakkan pelajar untuk menjalani kehidupan kampus yang seimbang dan holistik,” katanya.
.
Menurutnya, bagi melicinkan urusan pendaftaran semalam, UPSI menubuhkan Operasi Santun Mahasiswa yang digerakkan di sekitar Tanjung Malim untuk mengesan pelajar baharu yang berdepan kesulitan tempat penginapan.

Katanya, pelajar baharu yang terkesan diberikan penempatan sementara, sebagai satu langkah prihatin daripada pihak universiti.

“Pelajar tidak perlu risau walaupun mengalami masalah kewangan kerana UPSI menyediakan khidmat Bantuan Pendaftaran Pelajar Baharu yang diselia oleh Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah (Wezas) serta kerjasama erat dengan Seksyen Kebajikan, Perkhidmatan dan Perumahan Pelajar.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi pelajar, seterusnya memastikan mereka dapat melanjutkan pengajian dengan lebih tenang, tanpa kerisauan kewangan, dan berfokus penuh dalam meraih kecemerlangan akademik di UPSI,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN