KUALA SELANGOR: Seramai 60 belia diberi latihan menerusi Kursus Asas Servis dan Membaiki Motosikal sebagai sebahagian daripada program peningkatan kemahiran bagi membolehkan mereka menyertai kerjaya dalam industri pembaikan motosikal.
Kursus tersebut merupakan anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dengan kerjasama Arullesh Enterprise dan Perbadanan Pembangunan Teknikal Selangor (STDC).
UPPS dalam kenyataannya berkata, dalam sesi latihan tersebut, pelatih diberi pendedahan tentang teori dan praktikal asas berkaitan servis dan pembaikan motosikal selain berpeluang melakukan sendiri simulasi dan demonstrasi yang dikendalikan oleh tenaga bertauliah dari STDC.
“Program itu merupakan salah satu inisiatif di bawah agenda pembangunan belia Selangor yang bertujuan memperkasakan generasi muda melalui pendidikan vokasional dan teknikal.
“Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman yang menyempurnakan perasmian program tersebut memberitahu latihan tersebut diyakini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Tambahnya, Papparaidu menjelaskan pembangunan kemahiran teknikal dalam kalangan belia adalah penting bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan.
Malah, beliau turut berharap program itu diteruskan kerana membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang automotif. – UTUSAN