Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan Seminar Serantau Isu Komuniti Siri Kelima (SSIK) 2024 bagi membincangkan isu pembangunan komuniti dan keterjaminan makanan melalui adaptasi Society 5.0.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, seminar itu menjadi platform bagi mengeratkan kerjasama dalam menjalankan kajian serta jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa berkaitan aspek pembangunan komuniti dalam isu tersebut.
“Kita memerlukan pendekatan yang kolaboratif untuk memperkasakan komuniti dalam isu keterjaminan makanan dan juga penyelesaian yang mendalam supaya ia mampu merealisasikan hasrat menjayakan agenda sekuriti makanan negara,” katanya.
Seminar itu ditutup oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud. Beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan Universitas Halu Oleo, Indonesia.
Sementara itu, Pengarah IPSAS, UPM, Prof. Dr. Haslinda Abdullah berkata pada siri itu, pihaknya telah mendapat kerjasama daripada Universitas Teuku Umar (UTU), Universitas Halu Oleo (UHO), Universitas Abulyatama (UNAYA), Indonesia dan Walailak University, Thailand. – UTUSAN