Universiti perlu terima pelajar miskin, tangguhkan yuran

Universiti perlu terima pelajar miskin, tangguhkan yuran

Zambry Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pentadbir universiti diarah menerima masuk pelajar yang miskin dan daif serta membenarkan mereka menangguhkan bayaran yuran pengajian sebelum bantuan susulan diberikan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, beliau tidak mahu lagi mendengar kisah pelajar-pelajar cemerlang yang tidak dapat masuk ke universiti kerana tidak mempunyai wang untuk melanjutkan pengajian.

Kata beliau, dirinya sudah mengarahkan universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan.

“Saya masih ingat saya juga daripada latar belakang itu, saya tahu tentang kesusahan itu. Jadi saya tidak mahu itu dijadikan sebagai satu alasan untuk adik-adik semua tidak mahu masuk ke universiti

“Saya telah mengarahkan kepada pihak universiti supaya ambil, kalau saudara-saudari pergi pihak universiti akan menerima saudara-saudari terlebih dahulu dan selepas itu kita akan susun (bantuan) melalui PTPTN dan sebagainya,” katanya melalui sebuah klip video di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kesempitan hidup memaksa seorang anak nelayan, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20 yang memperolehi keputusan cemerlang 3.92 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menitip nasihat kepada semua pelajar untuk tidak menggunakan kemiskinan sebagai alasan tidak mahu menyambung pengajian.

“Jangan jadikan kemiskinan, kedaifan, masalah wang sebagai kekangan untuk kita masuk ke universiti kerana apa yang paling penting adalah ilmu sahaja yang boleh mengubah (nasib) hidup kita.

“Contoh yang paling jelas di hadapan mata (Zambry), anak seorang nelayan di Pulau Pangkor hari ini berjaya dengan cemerlang. Belajar di universiti Amerika Syarikat dan akhirnya menjadi Menteri. Jadi yang paling penting teruskan perjuangan untuk menimba ilmu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN