UNICEF sasar 12 juta dos vaksin mpox, bantu negara terjejas

UNICEF sasar 12 juta dos vaksin mpox, bantu negara terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Bagi memastikan perolehan vaksin cacar monyet atau mpox dengan segera untuk membantu negara-negara paling terkesan dengan wabak itu, sebuah tender kecemasan dilancarkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 

Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pakatan Vaksin Global (GAVI) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika.

“Tender kecemasan ini bertujuan memastikan akses segera kepada vaksin mpox yang tersedia dan memperluaskan pengeluarannya.

“Perjanjian terbabit boleh mencecah 12 juta dos hingga 2025 yang bergantung pada permintaan, kapasiti pengeluaran oleh pengeluar serta pembiayaan,” lapor kenyataan bersama dikeluarkan oleh pihak terbabit. 

PERJANJIAN BERSYARAT

Berdasarkan tender kecemasan itu, UNICEF merancang untuk mengatur perjanjian pembekalan bersyarat dengan pengeluar vaksin.

Langkah itu akan membolehkan UNICEF membeli dan menghantar terus vaksin berkenaan tanpa berlengah.  

Ia selepas negara bersama rakan kongsi terbabit mendapat pembiayaan, mengesahkan permintaan serta kesiapsiagaan dan bersedia daripada segi syarat kawal selia untuk menerima vaksin.

Selain itu, kerjasama berkenaan yang turut meliputi usaha bersama Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika, akan memudahkan sumbangan vaksin daripada simpanan stok sedia ada di negara berpendapatan tinggi.

Menurut kenyataan itu lagi, WHO sedang meneliti maklumat dikemukakan oleh pengeluar vaksin pada 23 Ogos lalu, dan dijangka menyelesaikan semakan terbabit untuk penyenaraian kegunaan kecemasan menjelang pertengahan bulan ini.

Buat masa ini, agensi antarabangsa itu dilaporkan giat meneliti serta menyemak permohonan lesen kecemasan bagi dua vaksin keluaran Bavarian Nordic dan KM Biologics.

KECEMASAN GLOBAL

Pada 14 Ogos lalu, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global susulan lonjakan kes strain baharu mpox, Clade 1b, di Republik Demokraktik Kongo (DRC) yang turut merebak ke negara-negara berdekatan.

Lebih 18,000 kes disyaki mpox termasuk 629 kematian dilaporkan di Kongo, sehingga kini. 

Sweden dan Thailand juga mengesahkan kes Clade Ib, sekali gus mencatat penularan strain virus itu di luar DRC dan negara-negara jirannya. -AGENSI 

GEJALA JANGKITAN MPOX: 

*Ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian meREBAK ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain.

*Demam.

*Keletihan.

*Sakit kepala.

*Lenguh tubuh badan.

*Sakit bahagian belakang atau sendi.

*Kejang otot.

*Pembengkakan kelenjar limfa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN