Undang-undang baharu `pengotor’ bakal didenda, sapu sampah, cuci longkang - Kor Ming Undang-undang baharu `pengotor’ bakal didenda, sapu sampah, cuci longkang - Kor Ming

Undang-undang baharu `pengotor’ bakal didenda, sapu sampah, cuci longkang – Kor Ming

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa berbelanja hampir RM3 bilion untuk pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal selain memberi amaran `pengotor’ bakal dihukum dengan melakukan kerja-kerja pembersihan. 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu termasuk bagi negeri-negeri yang belum menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Selain itu, tahun depan rakyat Malaysia dijangka akan menjana 14.5 juta metrik tan sampah setiap tahun.

“Bayangkan berapa berapa banyaknya sampah sekiranya kita tidak uruskan dengan baik.

“Ia akan menggugat kesihatan awam, menjejaskan imej negara, malah ia akan menjatuhkan indeks kebahagian rakyat di negara kita,” katanya selepas merasmikan  Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024.

Hari Cuci Malaysia merupakan anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan PR1MA Malaysia dan Malakoff Corporation Berhad menerusi Alam Flora Sdn.Bhd.

Program gotong-royong dan pembersihan mega ini telah dilaksanakan di 649 lokasi seluruh negara yang melibatkan pelbagai peringkat penganjuran termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, kementerian-kementerian, sekolah, balai bomba, Residensi PR1MA, Program Perumahan Rakyat (PPR), taman-taman awam, kawasan kejiranan, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan. 

Antara aktiviti yang dijalankan adalah termasuk pembersihan sampah haram, ploging, pembersihan jalan, pembersihan longkang dan pengurusan sisa ke arah ekonomi kitaran.

Terdahulu, Kor Ming ketika berucap mengulangi komitmen, individu yang masih degil membuang sampah merata-rata akan dikenakan hukuman khidmat sosial.

Menurutnya, hukuman itu akan diperkenalkan dalam undang-undang baharu sedang digubal pihak kementerian.

“Mulai tahun depan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan di Parlimen, siapa-siapa buang sampah dengan mengulangi kesalahan akan dijemput untuk sapu jalan, cuci longkang, cuci tandas sebagai khidmat sosial.

“Apabila ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPRM bagi t-shirt oren, bila tahun depan buang sampah, KPKT akan bagi t-shirt istimewa, tetapi bukan masuk longkap tapi akan jemput dia sama-sana turut bantu pekerja (pembersihan)

“Pasukan TikTok KPKT akan buat publisiti percuma untuk ulat-ulat sampah,” katanya.

Justeru, beliau berharap, Hari Cuci Malaysia dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dan komuniti di setiap peringkat mengenai kepentingan dan tanggungjawab terhadap kebersihan awam demi kesejahteraan dan kesihatan semua. 

Katanya, ini kerana kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak. 

“Ini termasuklah  membuang sampah dengan betul di tempat yang ditetapkan, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan aktiviti kitar semula, menyertai aktiviti gotong-royong dan bermacam-macam lagi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN