KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti yang mewujudkan galeri penyelidikan pertama berasaskan Realiti Terimbuh (AR) yang menghimpunkan 10 artifak kapal karam dasar laut Pulau Bidong di sini.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, UMT bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Digital Geoscience Global (DGeG) dan Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk merealisasikan penubuhan galeri tersebut di negara ini.
Menurutnya, kerjasama itu adalah untuk menghasilkan inovasi berbentuk pameran artifak yang ditemukan di sekitar Kapal Karam Bidong (Bidong Shipwreck).
“Inovasi ini menggunakan teknik pengimbasan 3D dan AR terkini yang membolehkan pengunjung melihat artifak itu secara lebih interaktif.
“Pameran ini mewakili gabungan seni, sejarah dan teknologi yang secara tidak langsung dapat menggambarkan sejarah masa lalu dan kita berharap ia dapat memupuk minat lebih banyak pihak untuk memulihara dan mengekalkannya untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian pameran 3D & AR khazanah kapak karam dasar laut Pulau Bidong yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts Mohammad Hazani Hassan dekat UMT di sini hari ini.
Artifak yang telah diselamatkan dari tapak arkeologi Pulau Bidong itu telah menjalani proses rawatan dan konservasi di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT.
Melalui teknologi AR dan 3D itu, pemuliharaan sebarang artifak menjadi lebih lengkap dan komprehensif melalui kebolehcapaian, penyelidikan dan data penting yang tidak ternilai sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan.
Mengulas lanjut, Mohd. Zamri berkata, selain artifak Bidong Shipwreck, galeri itu turut menempatkan pelbagai khazanah dan penyelidikan UMT berkaitan marin.
“Ini adalah permulaan kepada lebih banyak projek menggunakan teknologi AR dan VR terutamanya di dalam bidang geosains dan geo warisan,” katanya. –UTUSAN