UMT tubuh pusat terajui ekonomi biru

UMT tubuh pusat terajui ekonomi biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi biru dengan penubuhan Blue Economy Advancement Centre (UMTBeacon) atau Pusat Pemajuan Ekonomi Biru yang dilancarkan sempena Sesi Perbincangan Meja Bulat Ekonomi Biru di sini, hari ini.

Majlis pelancaran UMT Beacon disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod.

Perbincangan meja bulat Ekonomi Biru yang membawakan tema “Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Ekonomi Biru di Malaysia” adalah bertepatan dalam menyumbang kepada pembangunan agenda penting ekonomi negara.

Sekumpulan pemikir, pembuat dasar, penyelidik, dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor berkumpul di sini hari ini bagi meyumbangkan idea dan kepakaran untuk masa depan Malaysia yang lestari.

Mohamad Salmi berkata ekonomi lautan kita mempunyai potensi yang amat besar berikutan Malaysia berada dalam kedudukan yang unik, dengan lebih daripada 4,600 kilometer garisan pantai dan kawasan maritim yang meliputi perairan yang luas dan kaya dengan sumber.

“Aktiviti perikanan, akuakultur, dan pelancongan, minyak dan gas, perkapalan, serta bidang baru seperti tenaga laut yang boleh diperbaharui dan juga isu-isu berkaitan dengan ‘blue carbon credit’, Ekonomi Biru Malaysia telah menjadi bahagian yang sangat penting dalam agenda pembangunan negara”.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam Persidangan Meja Bulat Ekonomi Biru di sini hari ini.

Tambahnya pengurusan yang lestari adalah kunci untuk membuka pertumbuhan jangka panjang. Malah peningkatan pengiktirafan global terhadap ekonomi biru berasaskan kepada pemahaman yang mendalam dan konsep pembangunan berasaskan kelestarian bagi menyokong ‘Sustainable Development Goals (SDG)’: lautan kita bukan sekadar sumber untuk dieksploitasi; ia adalah sebuah ekosistem yang perlu dijaga.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menjelaskan mengenai visi UMT dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi biru serantau dan antarabangsa.

Menurutnya, penubuhan UMT Beacon bukan sahaja mencerminkan komitmen UMT terhadap ekonomi biru tetapi juga menunjukkan kesungguhan universiti pelopor bidang sains marin itu dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.

“Ekonomi biru merangkumi pemanfaatan sumber laut secara lestari sambil mengekalkan tanggungjawab terhadap kelestarian ekosistem marin”

“UMT mempunyai lebih daripada 200 pakar penyelidik dalam pelbagai aspek ekonomi biru serta dua institut yang diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) iaitu Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP)” katanya.

“Kita jangka Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) UMT akan turut menerima pengiktirafan yang sama dalam masa terdekat, “ ujar beliau lagi

UMTBeacon akan memainkan peranan penting sebagai hab penyelidikan dan inovasi dengan tumpuan kepada lima bidang utama yang menjadi pemacu ekonomi biru mencakupi ilmu perikanan dan akuakultur lestari, pemuliharaan ekosistem marin, ‘blue energy’, pelabuhan dan perkapalan maritim serta keusahawanan maritim.

Pelancaran UMT Beacon juga disertai dengan kerjasama strategik antara UMT, Institut Maritim Malaysia (MIMA), PLANMalaysia serta Sekretariat Sabah Maju Jaya.

Kerjasama tersebut akan memperkukuhkan usaha UMT dalam melaksanakan dasar ekonomi biru melalui pengurusan marin dan pantai yang mampan.

Selain itu, dua penerbitan penyelidikan berkaitan ekonomi biru telah dilancarkan melalui buku pertama hasil kerjasama antara UMT dan MIMA menyoroti pandangan sektor maritim terhadap ekonomi biru.
Manakala Buku kedua pula diterbitkan hasil usahasama strategik antara UMT dan Jabatan Perikanan bagi memberi fokus kepada data ekologi marin Malaysia.

UMT berhasrat untuk mengemudi perbincangan mengenai strategi jangka panjang yang melibatkan pertumbuhan ekonomi melalui sektor itu di pentas global.

“Usaha ini dijangka bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu, tetapi juga melindungi ekosistem marin yang semakin terancam akibat perubahan iklim dan pencemaran laut yang semakin meruncing”.

Seiring dengan matlamat Karbon Neutral Malaysia menjelang 2050, Mohd Zamri berkata, kepentingan inovasi dalam mengurangkan jejak karbon melalui teknologi tenaga boleh diperbaharui serta amalan seperti ‘carbon capture’.

“UMT juga memberi fokus terhadap konsep kewangan inovatif seperti “Blue Bonds” dan “Blue Financing” bagi memperkukuh pembiayaan ekonomi biru”

Dengan penubuhan UMT Beacon, UMT kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi pusat kecemerlangan serta pakar rujuk berkaitan ekonomi biru.

“Melalui penyelidikan berimpak tinggi, kerjasama strategik dari pelbagai pihak dan berinovasi, UMT komited untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan sejajar dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) demi mencapai impian bersama untuk kelangsungan ekosistem laut yang subur dan lestari,“ ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN