BESUT: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut berjaya menangkap seekor ular sawa dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) di Kampung Raja, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut (BBP), Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehadiran reptilia sepanjang hampir 10 meter itu pada pukul 7.22 pagi, sebelum empat anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi.
“Ular ini ditemukan berada di depan rumah seorang penduduk yang juga terletak pada jarak kira-kira 50 meter dari BBP Besut.
“Setelah menerima aduan kita terus bergegas ke lokasi dan mengambil masa kurang daripada lima minit untuk menangkap haiwan itu menggunakan penjerut,” katanya di sini, hari ini.
Ujar Muhammad Azrul Izzham, ular tersebut dikatakan datang daripada semak berdekatan rumah seorang wanita berusia lingkungan 40an.
Katanya lagi, ular sawa itu merupakan tangkapan kali kedua yang dilakukan oleh pihaknya selepas tangkapan pertama Februari lepas.
“Ular sawa ini akan kita serahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN