SHAH ALAM: Pensyarah Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik, UiTM Kampus Sungai Buloh, Prof. Datin Dr. Hapizah Nawawi, akan mengemukakan representasi berhubung pertuduhan butir matan palsu dihadapinya di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Peguam yang mewakili beliau, Shamsul Sulaiman berkata, representasi tersebut akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan memohon tarikh pengurusan kes baharu pada 20 November ini.
“Pihak kami akan mengemukakan representasi dan memohon penangguhan pengurusan kes selama dua bulan bagi mendapatkan keputusan representasi,” katanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Sebutan semula kes tersebut akan dibuat di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Sementara itu, beliau ketika ditemui memberitahu, representasi yang dibuat adalah untuk menggugurkan 18 pertuduhan dihadapi anak guamnya itu dan akan dibuat dalam masa terdekat.
“Representasi itu akan mengambil masa kira-kira sebulan sebelum keputusan diperoleh,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu melaporkan, Hapizah Nawawi dihadapkan dengan 18 pertuduhan bersubahat dengan Amirah Mohd. Ariff, 28, untuk memperdaya empat pegawai bendahari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan dokumen tuntutan yang mengandungi tuntutan palsu bagi bayaran gaji pembantu penyelidik.
Kerja penyelidikan tersebut bertajuk Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI) sebanyak RM38,000 secara berperingkat bermula pada April 2021 hingga Oktober 2022.
Bagaimanapun kerja-kerja tersebut didakwa tidak dilakukan. Kesalahan tersebut dilakukannya dekat pejabat Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik, UiTM Kampus Sungai Buloh.
Pensyarah berusia 64 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 28(1)(c) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. – UTUSAN