Tukang kebun ‘bersanding’ semula selepas 28 tahun

Tukang kebun ‘bersanding’ semula selepas 28 tahun

Yusry Mohamed Zuludin bersama isterinya diraikan seperti raja sehari dalam majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: “Saya turut sahaja apa yang pihak sekolah mahu lakukan bagi memeriahkan majlis persaraan ini,”

Demikian kata tukang kebun Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tawar di sini, Yusry Mohamed Zuludin, 60, yang diraikan dalam satu majlis sempena persaraannya.

Menurutnya, dia diberitahu oleh pentadbir sekolah untuk mengaturkan acara ‘persandingan’ sempena majlis persaraannya.

“Pentadbir sekolah beritahu, acara ini merupakan kemuncak sempena hari terakhir saya bertugas di sekolah ini. 

“Saya diminta menjadi raja sehari olok-olok bagi memeriahkan program. Lagipun, selepas ini saya mungkin tidak akan berada di sekolah ini lagi,” katanya selepas majlis itu.

Dia dijemput ke atas pentas bersama isterinya, Kalthom Majid, 58, oleh pengacara majlis dan mendapat tepukan gemuruh daripada guru, murid dan tetamu yang hadir.

Ceritanya lagi, tidak pernah seumur hidup dia dan isterinya diraikan bagai pengantin baharu.

Majlis perkahwinannya pada 2 Jun 1996, iaitu 28 tahun lalu pun tidaklah semeriah majlis itu, cuma kecil-kecilan sahaja.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia teruja dan berterima kasih kepada pentadbir dan guru SK Pulau Tawar kerana meraikan majlis persaraannya yang begitu meriah walaupun agak sederhana dan akan dikenangnya sehingga akhir hayat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN