PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Reedzwann, mengakui masih berada dalam keadaan trauma selepas kemalangan yang menyebabkan sahabatnya, Nuraisyatul Humairah Mohd Radzi maut pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun pengebumian jenazah telah selamat disempurnakan hari ini, namun dia masih menangis setiap kali terimbau insiden tersebut.
“Sejujurnya, saya masih dalam keadaan tidak baik, trauma dengan apa yang berlaku.
“Saya masih lemah semangat dan telinga masig terngiang suara. Sukar untuk dijelaskan apa perasaan sekarang.
“Menitis air mata menulis, tak berdaya mengenang segalanya. Andai ada silap atau terguris, ampunkan segalanya,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Reedzwann atau nama sebenarnya Muhamad Khairol Ridhuan Khairol Husni terselamat apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 363.8 Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River, Perak.
“Saya mengalami kecederaan di kiri badan namun hasil pemeriksaan mendapati tiada kecederaan tubuh yang serius kecuali lutut.
“Terima kasih kepada semua yang hadir menziarahi arwah Maira dan sama-sama menyempurnakan jenazah.
“Alhamdulillah segala proses berjalan lancar dan berharap agar semua boleh terus mendoakan Maira di sana, tulisnya.
Terdahulu, Reedzwan menjemput rakannya iaitu Nuraisyatul Humairah di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada pukul 10 malam.
Difahamkan, mereka kemudian berehat di rumah ibunya, sebelum menyambung perjalanan ke Puchong.
Penyanyi Tercipta Satu Senyuman itu turut menjelaskan ibu bapa Maira turut dimaklumkan dan memberi keizinan untuk pulang bersama ke Kuala Lumpur. -UTUSAN