Tragedi feri karam 52 tahun lalu bukti semangat perpaduan 

Tragedi feri karam 52 tahun lalu bukti semangat perpaduan 

JAAFAR Sidek Abdul Rahman (kanan) menandatangani papan  tanda 'Tragedi Feri Karam' pada perasmian Majlis Pengkisahan Tragedi Feri Karam di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Tragedi feri karam di Sungai Kerian yang mengorbankan 27 orang 52 tahun lalu wajar dijadikan teladan bagi membentuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Ini kerana dalam tragedi itu, masyarakat berbilang kaum yang berada di lokasi kejadian saling bantu membantu untuk menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, malah dalam tragedi itu, jurumudi feri, S. Annamalai terkorban kerana mahu menyelamatkan nyawa penumpang.

Katanya, selain Annamalai, beberapa lagi individu tanpa mengira bangsa berusaha menyelamatkan mangsa dengan terjun ke dalam sungai untuk mencari mangsa yang lemas.

“Tragedi itu amat memilukan terutama kepada waris yang terlibat namun dari satu sudut bagaimana masyarakat berbilang kaum yang ada di lokasi kejadian saling bantu membantu cuba untuk menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian yang berlaku pada pagi.

“Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat yang berusaha menyelamatkan mangsa pada hari kejadian wajar menjadi pedoman generasi hari ini untuk membina kembali semangat kesepaduan yang lebih erat lagi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian di Dewan Merdeka Parit Buntar, di sini hari ini.

Jaafar Sidek berkata, majlis pengkisahan itu dapat menyampaikan mesej kepada generasi muda supaya hidup dalam keadaan harmoni dan tidak mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Tragedi feri karam di Sungai Kerian berlaku pada 13 September 1972 menyebabkan 27 pelajar sekolah dan dua orang awam terkorban.

Daripada jumlah itu, 17 yang maut ialah pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian dan lapan murid dan pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Methodist Parit Buntar serta dua orang awam,  yang mana salah seorang adalah jurumudi feri yang karam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN