TPM sertai 50,000 hadiri kemuncak Malam Cinta Rasul TPM sertai 30,000 hadiri kemuncak Malam Cinta Rasul

TPM sertai 50,000 hadiri kemuncak Malam Cinta Rasul

ZAHID Hamidi (tengah) di Malam Cinta Rasul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas fenomena unik Lahaina Noon di Masjid Putra pada waktu tengah hari, lebih 50,000 orang menghadiri Malam Cinta Rasul 2024 berlangsung di Dataran Putra di sini.

Malah program Selawat Perdana bersempena sambutan Maulidur Rasul itu dimeriahkan pula dengan kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang ditemui berkata, acara kemuncak tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Program ini bermula dengan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di Masjid Putra sebelum disusuli pula pelbagai pengisian tausiyah mengenai Rasulullah SAW,” katanya.

Antaranya disampaikan Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir; Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman dan Timbalan Mufti Sabah, Datuk Abdul Manap Lakariba.

Tidak ketinggalan ialah pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Ar Riayah dan Pembimbing Majlis Ta’lim Darul Murtadza.

Acara yang disiarkan secara langsung menerusi stesen TV AlHijrah dan IKIMfm sehingga pukul 11 malam itu, turut menyaksikan mereka berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Aktiviti yang bertemakan ‘Al Falah Pemacu Malaysia Madani’ itu juga dimeriahkan dengan selingan pelbagai lagu alunan zikir oleh beberapa artis dari kumpulan nasyid tempatan.

Pengunjung di Masjid Putra turut dapat menyaksikan pameran artifak Rasulullah SAW dan sahabat, kiswah Kaabah serta manuskrip dan kesenian Islam yang dibuka sejak semalam.

Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Kebangsaan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini esok dan melibatkan 6,000 peserta daripada 131 kontinjen.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat dan bakal mengurniakan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima yang disyorkan jawatankuasa pemilihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN