Tok siak dipenjara 10 tahun amang seksual 2 kanak-kanak tadika dalam tandas surau

Tok siak dipenjara 10 tahun amang seksual 2 kanak-kanak tadika dalam tandas surau

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang siak sebuah surau dipenjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan empat tahun dalam tandas sebuah surau berdekatan Ampang, dekat sini, dua tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mas’odi Is’ad terhadap sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi kesalahan pertama dan penjara lima tahun dan satu sebatan bagi kesalahan kedua. Hukuman berkuat kuasa serentak.

Dalam penghakimannya, Hakim Aslam berkata, mahkamah mungkin tidak perlu mencerminkan sepenuhnya pendapat umum tetapi ia pastinya tidak boleh bersikap acuh tak acuh atau mengabaikannya.

“Keadilan perlu dikuatkuasakan secara bersungguh-sungguh ke atas pedofilia bagi memberi kesedaran bahawa mereka akan kehilangan kebebasan jika terlibat dalam tingkah laku hina dan tidak bermoral terhadap kanak-kanak tidak bersalah,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 5 September lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Hakim Aslam turut mengekalkan perintah supaya perayu menjalani sesi kaunseling pemulihan selama dua tahun ketika tempoh tahanan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tempoh tahanan.

Perayu yang tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pertuduhan pertama dan kedua, Mas’odi disabitkan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak masing-masing berusia lima tahun dan empat tahun pada waktu yang sama kira-kira pukul 11 pagi, 3 Mac 2022 di tandas wanita sebuah surau di Kampung Pandan Dalam di sini.

Hakim bicara yang mendengar kes tersebut berpuas hati, kedua-dua mangsa adalah saksi yang kredibel dan keterangan mereka meyakinkan mahkamah.

Menurut hakim berkenaan, mangsa pertama mampu menceritakan dengan konsisten perlakuan seksual tertuduh bukan sahaja ketika memberi keterangan, malah ketika ditemuduga di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC).

Berkaitan mangsa kedua, hakim bicara turut berpuas hati, kredibiliti kanak-kanak itu tidak tergugat meskipun terdapat sedikit percanggahan berhubung bahagian badan khusus yang disentuh tertuduh.

Naratif pendakwaan menyatakan, kedua-dua mangsa merupakan murid sebuah tadika yang terletak dalam kawasan surau berkenaan yang turut menempatkan tandas lelaki dan wanita untuk kegunaan guru. Perayu merupakan siak yang bertugas membersihkan kawasan surau termasuk tandas.

Keterangan kes menyatakan, kejadian berlaku dalam tandas surau selepas kedua-dua mangsa selesai membuang air kecil. Perkara itu bagaimanapun tidak diceritakan kepada guru mereka.

Mangsa dalam kes pertama bagaimanapun menceritakan kejadian tersebut kepada ibu yang yang kemudian memberitahu suaminya.

Suaminya selanjutnya menceritakan kejadian tersebut kepada seorang siak lain bagi mendapatkan maklumat siapa yang bertugas pada hari tersebut.

Naratif pendakwaan turut menyatakan, siak berkenaan kemudian menghantar gambar perayu kepada bapa mangsa yang kemudian menunjukkan kepada anaknya. Mangsa mengesahkan perayu yang melakukan perbuatan seksual itu.

Sementara itu, ibu mangsa kedua hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya selepas menerima panggilan daripada polis supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk memberi keterangan berhubung kes seksual terhadap anaknya.

Tertuduh ketika membela diri menafikan melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-duanya sebaliknya mendakwa membantu mereka membasuh kencing dengan cara menyembur air paip ke kemaluan mangsa. Pembelaan itu bagaimanapun ditolak oleh hakim bicara yang menyifatkannya sebagai penafian semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN