BUTTERWORTH : Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang lelaki berhubung penjualan jongkong emas membabitkan kerugian berjumlah RM32,000, Jun lalu.
Tertuduh, Teh Yong Yang, 33, dan Ooi Kar Hon, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Mengikut pertuduhan-pertuduhan tersebut, kedua-dua tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 64 tahun untuk mempercayai bahawa dua Swiss Gold Bar adalah tulen.
Tindakan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah berjumlah RM32,000 yang mana mangsa tidak akan berikan sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai pajak gadai di Taman Bagan Ajam dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara 12.59 tengah hari hingga 11.01 pagi pada 13 dan 14 Jun lalu.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun selain sebatan dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin memohon agar masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi oleh kedua-dua tertuduh.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum susulan Yong Yang dan Kar Hon masing-masing hanya bekerja sebagai penjual mi goreng dan tukang kunci dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Majistret Siti Zulaikha kemudiannya membenarkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 9 Oktober depan sebagai tarikh untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Yong Yang sekali lagi mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas dua pertuduhan memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun menggunakan taktik sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM34,000.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Chain Ferry pada 14 Julai lalu iaitu antara pukul 9 pagi hingga 6.15 petang dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Majistret Siti Zulaikha kemudiannya juga membenarkan jaminan RM14,00 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula dan lantikan peguam.-UTUSAN