Tipu bida Mindef RM20 juta: Tujuh syarikat didenda RM450,000

Tipu bida Mindef RM20 juta: Tujuh syarikat didenda RM450,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda RM446,092.95 terhadap tujuh syarikat kerana terlibat menipu bida empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pertahanan (Mindef) yang bernilai RM20 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, tindakan itu diambil atas pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) yang dikesan dilakukan pada 2017 dan 2020 lalu.

“Pada 19 Disember 2023, MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan kepada tujuh perusahaan yang terlibat dan seterusnya MyCC telah menerima representasi daripada perusahaan-perusahaan tersebut.

“Selepas menilai dengan teliti semua representasi yang dikemukakan, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran terhadap kesemua tujuh perusahaan pada 30 Ogos 2024 dan ia telah diserahkan kepada perusahaan yang terlibat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tujuh syarikat yang didenda ialah  Agenda Eksklusif Sdn Bhd (AESB); Star Apex Enterprise (SAE); Nekad Waja Resources (NWR); Spectron Sdn Bhd (SSB); Teknokrat Makmur Enterprise (TME); Prospectrum Sdn Bhd (PSB) dan NK Panorama Enterprise (NKPE).

Selain itu, Iskandar berkata, MyCC kini  sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion serta sedang menilai aduan berkaitan 463 syarikat dalam tender bernilai RM9.27 bilion.

Jelasnya, kartel tipuan bida menggugat ketelusan dan integriti perolehan awam negara hingga mengakibatkan kerugian besar kepada sumber negara yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat.

“MyCC tetap teguh dalam usaha membanteras amalan tidak beretika ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk membasmi kartel tipuan bida.

“Perlu saya tegaskan bahawa penyiasatan ini tertumpu kepada perusahaan-perusahaan yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, bukannya terhadap Mindef. Mereka adalah mangsa manipulasi kartel-kartel ini,” katanya.

Kata kenyataan itu, MyCC turut menghargai kerjasama Mindef dalam penyiasatan serta berdiri teguh bersama kami menentang aktiviti kartel kerana kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan.

“Kami meminta agensi lain mencontohi tindakan Mindef dan bekerjasama dengan MyCC dalam usaha melindungi ketelusan perolehan awam. Jika terdapat kementerian atau agensi yang mengesyaki berlakunya amalan tipuan bida dalam proses tender mereka, kami mengesyorkan untuk segera menghubungi MyCC untuk membuat aduan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN