KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan institusi agama di peringkat Pusat dan negeri meningkatkan kefahaman mengenai penyatuan umat Islam di bawah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan suatu keperluan mendesak pada masa kini.
Baginda bertitah, penyatuan di bawah payung Ahli Sunnah Wal Jamaah penting untuk mengelakkan perpecahan dan perselisihan yang boleh merosakkan perpaduan ummah.
Titah baginda, Kerajaan Malaysia, melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kerajaan Negeri di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) perlu memastikan umat Islam di Terengganu berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ahli Sunnah Wal Jamaah atau dikenali Sunni adalah golongan majoriti dalam dunia Islam yang berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW dan difahami oleh para sahabat baginda.
“Dengan berpegang teguh kepada akidah yang benar dan murni, kita dapat menghadapi segala cabaran dan ancaman yang mendatang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Sebelum itu, seramai 1,888 peserta daripada 59 kontinjen menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Terengganu.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah, penekanan kepada pendidikan agama sejak usia muda juga amat penting dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
“Beta menyarankan agar program-program yang memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji dalam kalangan anak-anak muda diperkasakan.
“Institusi pendidikan agama harus menyediakan ruang mencukupi untuk pembelajaran ilmu-ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.
“Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadah tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak. Program seperti kelas agama, kuliah Maghrib dan kem ibadah harus diperbanyakkan dan diperkuatkan,” titah baginda. – UTUSAN