KUALA TERENGGANU: Tiga kes kemalangan maut dengan tiga kematian berasingan membabitkan peserta Program Himpunan RX-Z Members 6.0 direkodkan di negeri ini dalam tempoh dua hari lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kemalangan maut itu membabitkan masing-masing satu kes di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kelulut, Marang pada Sabtu dalam nahas enam kenderaan dan mengorbankan lelaki berusia 58 tahun.
Katanya, kemalangan maut kedua membabitkan seorang pemuda berumur 29 tahun dari Negeri Sembilan turut maut di Kilometer (KM) 270.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) dekat Perasing, Kemaman pada Ahad.
Seorang lagi mangsa berusia 29 tahun dari Temerloh, Pahang, terkorban dalam kemalangan maut ketiga setelah terseret ke bawah sebuah treler di KM379.5, dekat Ajil, Hulu Terengganu pada hari sama.
“Enam individu lain turut direkodkan cedera parah atau cedera ringan dalam tiga nahas berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, menerusi Op Khas sempena program himpunan itu, sebanyak 89 saman telah dikeluarkan dengan ubah suai ekzos dan tiada cermin sisi menjadi kesalahan paling tinggi dikesan.
“Berdasarkan laporan penuh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, dianggarkan 60,000 peserta menghadiri Program Himpunan RX-Z Members 6.0.
“Menerusi operasi rutin bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 15 saman lagi turut dikeluarkan kerana gagal ujian bunyi bising iaitu kesalahan ubah suai aksesori motosikal,” ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, sebanyak 15 buah motosikal juga disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas pelbagai kesalahan.
“Pihak polis turut menerima tiga laporan oleh peserta program yang kerugian ribuan ringgit setelah ditipu ‘scammer’ rumah inap melalui Facebook,” katanya.
Himpunan RX-Z Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 September lalu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. – UTUSAN