Tiga penganggur didakwa culik seorang lelaki

Tiga penganggur didakwa culik seorang lelaki

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga orang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik atau melarikan seorang lelaki, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh-tertuduh, Mohammad Izzul Hakim Zainodin, 35; Zairen Idzwan Mohd Haslin, 33; dan Hqoezniezam Hamzah, 41, didakwa menculik atau melarikan mangsa dengan niat hendak melakukan satu cedera parah di kawasan tempat letak kereta di sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Off Jalan Puchong di sini pada 3 September 2023.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 367 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip mencadangkan tiada sebarang jaminan ditawarkan. Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat sebarang rayuan berhubung jamin.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada 7 September 2023, media melaporkan, seorang lelaki ditemukan mati di Batu 14, Puchong selepas dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dipetik berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa yang berusia 25 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakan-rakannya ketika berada di kawasan PPR Kampung Muhibbah pada malam Ahad lalu.

Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Daerah Cheras menangkap empat suspek berumur 27 hingga 35 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN