GEORGE TOWN : Kolaborasi antara kumpulan rock legenda, Spider dan kugiran pop alternatif yang memperjuangkan muzik era 1960-an, Kugiran Masdo bersama penampilan istimewa, ratu rock negara, Ella berjaya menggegarkan Spice Arena menerusi Konsert Mahardika yang berlangsung, malam kelmarin.
Tiga nama besar ini ternyata memiliki kekuatan tersendiri tatkala beraksi di pentas dan meskipun masing-masing tampil membawa genre muzik yang berbeza, ternyata konsert berdurasi hampir tiga jam itu masih berjaya untuk menyatukan kira-kira 5,000 penonton daripada pelbagai lapisan usia yang hadir.
Membuka tirai dengan lagu La Obe x Janji Manis, irama rancak berjaya menjadi pemanas badan oleh Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (pemain bass) dan Asmawi (gitaris) sebelum mereka tampil dengan sembilan lagi lagu termasuklah Teruna & Dara, MFLTT, Bunga, Berduka-Lara, Kecundang, Inilah JalanNya, MPRNR, Dinda dan Bercanda Di Malam Indah.
Ali atau nama sebenarnya Aliff Fahmi Bahtiar, 32, dalam pada itu mengakui teruja dan berbesar hati dapat berkongsi pentas bersama dua nama besar dalam arena rock tempatan, Spider dan Ella.
Beliau dalam ucapan ringkasnya turut menyelitkan pesanan agar penonton usah berhenti bermimpi kerana suatu hari, mimpi akan pasti dapat menjadi kenyataan.
Sementara itu, kemunculan istimewa Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin dengan menyampaikan lagu hit petikan dari album studio pertama berjudul Pengemis Cinta 1989 iaitu Permata Biru usai persembahan Kugiran Masdo terus menghangatkan lagi suasana arena.
Lincah, manja, dan bertenaga, Ella yang turut mendendangkan lagu Dua Insan Bercinta dan Gemilang juga seperti biasa bijak menguasai pentas malah, figura itu masih sempat untuk menitipkan ucapan hari kemerdekaan sekali gus mendoakan keamanan Malaysia.
Mengakhiri persembahan dengan lagu Standing In The Eyes Of The World, Ella turut berdiri di atas pentas khas selain menyapa penonton yang ternyata teruja dan ikut menyanyi bersama.
Menutup tirai persembahan penuh gemilang pada malam itu ialah Spider menerusi vokalisnya, Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah.
Meskipun telah mencecah usia 51 tahun, Tam tetap bertenaga apabila mendendangkan 12 buah lagu termasuk Rasakan Resapkan, Laukku Cukup Masin, Kacap Terlabik, Cinta Dewa Dewi, Kasih Latifah, Telinga Ke Tulang, Mabuk, Aladin serta beberapa lagu lain.
Laungan Merdeka diikuti lagu Tanggal 31 yang bergema memenuhi ruang arena di samping kibaran Jalur Gemilang oleh barisan para artis dan penonton kemudian menjadi acara penutup konsert yang berakhir kira-kira pukul 11.30 malam itu.
Terdahulu, konsert Mahardika anjuran The Dons Group ternyata mengubat kerinduan peminat tegar mereka khususnya yang berada di Pulau Pinang serta di utara tanah air yang sentiasa menyokong perjalanan seni ketiga-tiga nama besar dalam industri hiburan tanah air ini.-UTUSAN