KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah dengan rampasan dianggarkan RM1.6 juta dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 2 September lalu.
Serbuan bermula 11.35 pagi hingga 5 petang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah kondominium di Cheras di sini dengan menahan tiga lelaki tempatan berusia 23 hingga 30 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan satu beg hijau mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 10.5 kilogram (kg) dianggarkan melebihi setengah juta.
“Berpandukan suspek, kita pergi ke sebuah lagi kondominium di Cheras Perdana, Selangor dipercayai dijadikan tempat menyimpan dadah yang belum diedarkan.
“Hasil pemeriksaan menemukan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi disyaki ekstasi seberat 5.2 kg dan dua bungkusan plastik putih berisi ketamin seberat 4 kg,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari luar negara dan menjadikan rumah kediaman sebagai stor simpanan sebelum diedarkan untuk pasaran Lembah Klang.
Jelasnya, siasatan mendapati kediaman tersebut disewa kira-kira RM2,000 hingga RM2,500 oleh sindiket dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu.
“Hasil ujian saringan mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah THC dan ketamin manakala seorang lagi negatif dadah.
“Ketiga-tiganya tiada rekod lampau serta direman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Rusdi, jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas adalah ketamin seberat 14.5 kg dan ekstasi (5 kg).
Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung seramai 40,000 orang pengguna.
“Kita berusaha mengekang aktiviti dadah daripada terus berleluasa di Kuala Lumpur dan berharap orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah bagi memastikan ibu kota menjadi bandar raya selamat,” ujarnya. – UTUSAN