PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap tiga kontraktor yang disyaki terlibat aktiviti kartel tipu bida membabitkan enam tender kerja penyelenggaraan Perbadanan Putrajaya (PPJ) bernilai RM45 juta.
Keputusan cadangan terhadap tiga perusahaan atas pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) adalah melibatkan syarikat Abadi Malaysia Sdn. Bhd., Kota Lanskap Sdn. Bhd. dan Usia Maintenance Sdn. Bhd.
Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus berkata, penyiasatan pada peringkat keputusan cadangan mendapati semua kontraktor telah melakukan aktiviti kartel tipuan bida melalui perjanjian dan amalan bersepadu untuk menetapkan harga bidaan, berkongsi maklumat bidaan serta menyelaraskan penyediaan dan penyerahan bidaan.
Katanya, jumlah keseluruhan tender terbabit dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta yang melibatkan dua tender pada 2018, tiga tender pada 2019 dan satu tender pada 2021.
“Penting untuk ditekankan bahawa keputusan cadangan yang dinamakan oleh MyCC adalah dapatan awal.
“Maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan di atas telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Hishamudin, seperti diperuntukkan dalam Akta 712, kontraktor-kontraktor yang dinamakan dalam keputusan cadangan itu telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan MyCC.
Katanya, perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.
“Selepas itu, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan,” katanya.- UTUSAN