KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga kertas siasatan berkait Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) akan dihantar Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, kertas tiga kertas siasatan itu membabitkan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Kertas siasatan itu adalah berkaitan dengan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan penggunaan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan.
“Tiga kertas siasatan ini melibatkan kesalahan yang ditemukan susulan siasatan fasa pertama Op Global di Negeri Sembilan.
“Kami akan menghantar kertas siasatan ini ke AGC pagi ini untuk semakan dan arahan lanjut,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini. – UTUSAN