TENOM: “Ebit Lew selalu meminta gambar saya, minta gambar payudara dan semua anggota badan saya. Dia suruh bogel. Dia minta saya buka pakaian tapi, saya tidak ikut permintaan dia,”.
Pengadu yang juga saksi kesembilan memberi keterangan itu pada sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.
Pengadu memberi keterangan berkenaan apabila diminta menjelaskan maksud pengadu menjawab setuju ketika ditanya peguam bela bahawa pengadu meneruskan panggilan suara selama 44 minit tetapi memberitahu dia tidak mengikut semua permintaan tertuduh.
Pengadu menjelaskan dia tidak menghentikan panggilan suara sehingga 44 minit kerana pada masa itu kerana mahu tahu apa masalah tertuduh yang sering menghantar WhatsApp lucah, minta gambar dan meminta dia layan nafsu seksnya.
“Ebit mengasak (mendesak) saya. Dia balik-balik buat missed call, paksa saya untuk sambut (jawab) panggilan. Jadi hari itu, saya jawab panggilan.
“Saya rasa ingin tahu kenapa Ebit WhatsApp lucah kepada saya, minta layan kemahuan seks sebab saya tengok dia kerap muat naik dalam Instagram dan Facebook, dia baik sahaja dengan isterinya. Jadi, saya mahu tahu apa sebenarnya masalah dia, ” kata pengadu pada perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Selain itu, pengadu berkata, dia beberapa kali menjawab panggilan video daripada Ebit kerana terpedaya dan terikut-ikut dengan kemahuan Ebit.
Katanya, seingatnya tiga kali dia terpedaya dan menjawab panggilan video Ebit. Dalam tiga kali panggilan video tersebut, Ebit meminta dia untuk menunjukkan payudara.
“Masa panggilan video, dia suruh saya buka dan masa itu saya memang terpedaya dan ikut arahan dia,” katanya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.- UTUSAN