KUALA LUMPUR: Pelakon, Elvina Mohamad, mengehadkan perkongsian mengenai keluarga di media sosial bagi mengelak penyakit ain.
Elvina atau Norzalina Mohamad, 29, turut mengakui muak membaca komen negatif warganet yang menghina anak dan suaminya.
“Dulu saya kerap kongsi tentang anak dan suami. Namun warga maya suka cari kesalahan. Saya jadi jelak nak kena jelaskan setiap perkara kepada mereka.
“Anak-anak saya pun pernah jadi bahan kecaman sedangkan cara kita besarkan anak semuanya berbeza. Sebab itulah saya pilih kurangkan perkongsian di media sosial.
“Bila muat naik tentang diri, setidaknya kecaman itu hanya tertuju kepada saya seorang. Tidak terkena pada anak dan suami.
“Suami saya sampai pernah kena darah tinggi sebab baca komen,”
jelasnya.
Elvina ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana dan sidang media drama Ternyata Sebuah Bahagia di GSC Mid Valley Megamall, semalam.
Bagi Elvina, kini dia semakin berhati-hati untuk membuat hantaran di media sosial yang rata-ratanya mengenai kerjaya.
“Tidak semua suka melihat kita bahagia. Jadi saya pilih untuk hadkan perkongsian di media sosial.
“Kalau mahu berkongsi pun tentang acara tertentu seperti majlis sambutan hari lahir anak. Platform saya banyak tentang kerja.
“Jika kongsi terlalu banyak pun tidak bagus. Apa yang saya tunjuk di media sosial hanya 20 peratus tentang saya,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Elvina bakal
membintangi sebuah drama kekeluargaan Tenyata Sebuah Bahagia sebagai Rhea.
Drama yang mengisahkan cabaran rumah tangga dan kecurangan dalam perkahwinan ini bakal menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Ria.
Turur sama menjayakan drama 40 episod ini ialah Zamarul Hisham, Che Puan Sarimah Ibrahim, Lorenzo Irmann dan Myra Afrina.