Tidak perlu bimbang situasi ajaran sesat di Perak - Utusan Malaysia

Tidak perlu bimbang situasi ajaran sesat di Perak

AZIZI Mat Aris (tengah) bersama pelajar semasa program advokasi kesedaran keselamatan jalan raya di SMK Dato' Haji Mohd Taib dekat Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Masyarakat tidak perlu bimbang berhubung dakwaan kewujudan gerakan kumpulan ajaran sesat yang didakwa bergerak di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris memberi keyakinan tersebut kerana hal itu akan ditangani oleh pihaknya dengan agensi penguasa lain termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Setakat ini Perak apa jua pun dalam keadaan aman dan tenteram. Rakyat jangan khuatir. Tidak perlu kerisauan,” katanya semasa program advokasi kesedaran keselamatan jalan raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Taib, Chemor dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Sabtu lalu bahawa kerajaan Perak telah mengenal pasti beberapa ajaran sesat yang terdapat di negeri ini dan sedang dipantau.

Sebelum ini dilaporkan, pihak berkuasa negeri sedang bekerjasama untuk menangani ajaran Millah Abraham yang dikatakan bergerak di Perak selain dakwaan dalam media sosial mengenai kewujudan kumpulan yang dikaitkan dengan ajaran sesat.

Azizi berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan JAIPk dalam usaha membanteras gerakan yang boleh menjejaskan kententeraman awam.

Mengenai program dihadirinya, Ketua Polis Perak itu berkata ia merupakan sebahagian usaha berterusan untuk menangani kesalahan lalu lintas dalam kalangan pelajar sekolah dengan sasaran mengurangkan kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecacatan.

Katanya juga, program itu bertujuan untuk mengatasi sikap tidak bertanggungjawab ketika menunggang motosikal termasuk berkelakuan seperti samseng jalanan.

Beliau berkata, sebanyak 622 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah direkodkan sehingga Ogos lalu di Perak dan itu merupakan peningkatan berbanding sebanyak 605 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN