PETALING JAYA: Penyampai radio, Tyzo, menyifatkan dirinya mempunyai hak untuk ‘memotong’ foto DJ Lin yang turut tersenarai dalam Top 10 kategori penyampai radio popular, Anugerah Bintang Popular tahun ini.
Tyzo atau nama penuhnya, Tuah Zoqarnain Idris, 49, terbuka sekiranya tindakan itu dianggap tidak profesional memandangkan penyampai radio tersebut didakwa merosakkan reputasi kerjayanya.
“Saya rasa tidak perlu untuk ‘menggambarkan’ seseorang yang pernah menutup periuk nasi saya. Itu hak saya nak senaraikan top 10 atau top 9.
“Itu sahaja jawapan saya. Mungkin bagi sesetengah orang nampak tindakan itu sebagai tidak profesional. Namun, tidak salah untuk saya enggan meletakkan gambar sesiapa,” katanya.
Tambah Tyzo, pada awalnya dia sudah memuat naik foto penyampai radio tersebut, namun memilih untuk berkongsi gambar yang lain.
Meskipun tiada menyimpan dendam terhadap DJ Lin, Tyzo menyifatkan setiap perbuatan yang menjatuhkan reputasinya perlu diberi pengajaran.
“Untuk mengatakan dendam itu tidak. Cuma, apa yang sudah berlaku telah banyak menutup peluang dan ruang saya walaupun kehidupan saya selepas itu berubah 360 darjah.
“Perbuatan itu juga telah merosakkan reputasi saya yang sepatutnya masih boleh bekerja dengan baik. Saya tidak berdendam.
“Tapi perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Bagi saya, setiap perbuatan itu ada pengajarannya,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Tyzo bagaimanapun mengakui sehingga kini tiada sebarang permohonan maaf dari pihak DJ Lin.
Sebelum ini, Tyzo yang juga bekas penyampai radio Suria FM mengundang perhatian ramai apabila memadam foto DJ Lin yang turut tersenarai dapam 10 calon kategori penyampai radio popular yang pernah dimenanginya tahun lalu.
Pada Januari lalu, Suria FM mengumumkan penamatan khidmat Tyzo sebagai penyampai segmen Suria Petang.
Menurut DJ Lin, keputusan tersebuy dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.
Namun, Tyzo menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan kekecewaan tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan. -UTUSAN