Tidak bertanggungjawab manipulasi isu agama, kaum

Tidak bertanggungjawab manipulasi isu agama, kaum sebagai senjata

MOHD. Na’im Mokhtar ketika pada majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyelar pihak yang sengaja memanipulasi isu panas untuk pihak tertentu.

Malah beliau kesal kerana tindakan kelompok tersebut boleh mengakibatkan masyarakat pula yang dijadikan mangsa sehingga turut memecahbelahkan hubungan persaudaraan.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak yang terus memanipulasikan isu keagamaan dan perkauman sebagai senjata melemahkan pihak tidak sealiran,” katanya.

Beliau meluahkan perkara itu ketika berucap pada majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia berkenan berangkat diiring oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya.

Seramai 6,000 peserta daripada 131 kontinjen terlibat dalam acara perhimpunan itu dan turut menyaksikan enam individu diumum sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, Mohd. Na’im dipercayai merujuk beberapa isu panas yang meletus antaranya isu pensijilan halal hingga menjadi polemik seluruh negara.

“Akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita palsu, adu domba dan maki hamun yang memecahbelahkan silaturahim,” jelasnya kesal.

Sehubungan itu, beliau berharap agar sambutan peristiwa kelahiran Rasulullah SAW yang diraikan dapat dihayati seluruh umat Islam kerana ia juga membawa makna cukup besar.

Masyarakat Muslim ujarnya, diseru agar mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan berasaskan kepada ilmu dan hikmah.

Pada masa sama, Mohd. Na’im mengajak rakyat untuk meneruskan semangat perpaduan dalam kemajmukan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.

Langkah berkenaan tambahnya, mampu membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab memperkukuhkan kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Negara kita sebenarnya memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama yang jadi nilai teras Malaysia Madani,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menyeru rakyat bersatu hati mendoakan warga Palestin yang  menerima rawatan di Hospital Tuanku Mizan dikurniakan kesihatan dan kesembuhan.

Mohd. Na’im turut meminta masyarakat supaya terus bersatu hati mendoakan penduduk Palestin yang dirujuk beliau sebagai sahabat untuk diberikan kesejahteraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN